PETALING JAYA – Rata-rata penjawat awam bersyukur dan mengalu-alukan pelarasan gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Maklum balas positif itu dikongsikan oleh penjawat awam menerusi hantaran dan komen yang dibuat di media sosial ketika ini.
“Alhamdulillah, terima kasih Kerajaan Madani. Ada juga daripada tak ada, itu pun ada manusia yang tak reti bersyukur,” komen seorang pengguna Facebook.
“Setelah hampir 11 tahun tiada pelarasan gaji, masih ada mempersendakan kenaikan ini. Belum ada berani untuk bersuara tentang kenaikan gaji, sampailah hadirnya PMX. Bersyukur apa adanya, kita masih ada kenaikan gaji tahunan,” kata seorang lagi pengguna Facebook.
“Alhamdulillah, rezeki yang Allah bagi tetap bersyukur. Terima kasih PMX,” ujar pengguna lain.
Kosmo! hari ini melaporkan, kerajaan mengumumkan pelarasan gaji 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional, manakala 7 peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Perdana Menteri dipetik berkata, pelaksanaan pemberian tersebut dibuat secara bertahap dan berfasa iaitu fasa satu pada 1 Disember ini, manakala fasa dua pada 1 Januari 2026. – KOSMO! ONLINE