PETALING JAYA – Pendedahan laporan akhir nahas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor bukan bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi ia perlu dijadikan panduan.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menegaskan, ia bertujuan untuk mencegah kemalangan serupa berlaku, selain meningkatkan keselamatan penerbangan secara keseluruhannya.
“Siasatan ini mendedahkan contoh ketidakpatuhan dan kesilapan, namum bagaimanapun, adalah penting untuk ditekankan bahawa penemuan ini tidak bertujuan untuk meletakkan kesalahan atau liabiliti (mana-mana pihak).
“Adalah penting untuk semua pihak berkepentingan, mengutamakan keselamatan dan komited melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk mencegah ia daripada berulang,” katanya menerusi laporan berkenaan.
Terdahulu Kosmo melaporkan, punca utama kepada berlakunya nahas yang melibatkan pesawat N28JV, model Hawker Beechcraft 390 Premier 1 tahun lalu itu, adalah kerana masalah protokol membabitkan peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ oleh juruterbang.
Menerusi laporan akhir BSKU mendapati, masalah tersebut terjadi ketika juruterbang sedang melakukan pemeriksaan sebelum memulakan pendaratan.
“Penyebab utama kemalangan adalah sambungan tidak disengajakan ‘lift dump spoiler’, kemungkinan besar oleh komandan kedua semasa pemeriksaan sebelum pendaratan.
“Tindakan ini menyebabkan secara tiba-tiba pesawat kehilangan daya angkat, mengakibatkan kehilangan kawalan yang dahsyat dan seterusnya berlaku kemalangan,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE