Manchester – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag menyatakan bahawa kekalahan dalam aksi Perisai Komuniti akan membantu mereka bersedia untuk menghadapi saingan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham di Old Trafford awal pagi esok.
United memulakan kempen EPL dengan rentak perlahan dalam dua musim pertama di bawah bimbingan Erik ten Hag apabila tewas dua perlawanan pembukaan pada 2022 dan 2023.
Bagaimanapun, United kali ini akan memulakan musim sebagai pilihan untuk memenangi aksi pembukaan menentang Fulham meskipun The Red Devils berdepan masalah menjaringkan gol terutamanya dengan ketiadaan Rasmus Hojlund di barisan hadapan.
Penyerang Denmark itu terlepas aksi pembukaan selepas mengalami kecederaan hamstring dalam perlawanan pramusim dan dijangka pulih seawalnya pertengahan bulan depan.
Bagaimanapun, Ten Hag optimis mereka dapat memperoleh keputusan positif menentang Fulham walaupun tanpa penyerang utama dengan mengharapkan gandingan trio Marcus Rashford, Alejandro Garnacho dan Amad Diallo untuk mengetuai serangan.
“Permulaan liga paling penting. Saya fikir kami boleh mengambil banyak perkara positif dari perlawanan ini (menentang Manchester City aksi Perisai Komuniti) dan ini akan memberikan kami keyakinan.
“Saya sangat menantikan musim ini. Bermula menentang Fulham pada Jumaat ini (awal pagi esok). Kami mempunyai beberapa hari untuk bersiap sedia dan kami perlu memanfaatkannya ke atas Fulham,” katanya.
Dalam masa sama, skuad kendalian Ten Hag akan turun tanpa pemain pertahanan kiri, Luke Shaw akibat kecederaan betis dialaminya pada permulaan latihan pramusim awal bulan ini. – AGENSI
CAPTION
BINTANG baharu United, Matthijs de Ligt bakal mengukuhkan lagi benteng pertahanan menentang Fulham awal pagi esok. – MAN. UNITED