JERANTUT – Seorang lelaki warga Bangladesh dan anak tirinya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia di Kilometer 6 Jalan Kampung Pulau Mansok-Jerantut Feri di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu menyaksikan mangsa Mohamad Adam, 39, dan anak tirinya Faiq Aqwa Abdullah, 9, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal semasa kejadian motosikal dalam perjalanan menghala ke Jerantut Feri manakala kereta Perodua Axia yang dipandu oleh seorang guru dalam perjalanan ke arah Batu Embun di sini.
“Apabila tiba di tempat kejadian penunggang motosikal dipercayai cuba mengelak sebuah lubang di kiri jalan sehingga masuk ke laluan sebelah kanan lalu bertembung dengan kereta jenis Perodua Axia dari arah bertentangan menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke sebelah kanan jalan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Zukri, akibat kemalangan penunggang motosikal warga Bangladesh bersama anak tiri lelakinya maut di tempat kejadian, manakala guru wanita yang memandu Perodua Axia bersama anak lelakinya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan kering dan cuaca cerah.
“Hasil siasatan, kemalangan ini berpunca apabila penunggang motosikal masuk ke laluan bertentangan untuk mengelak jalan rosak di laluannya sebelum bertembung dengan kenderaan yang datang dari arah hadapan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE