JELEBU – Pengumuman laporan akhir nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor yang meragut 10 nyawa pada 17 Ogos tahun lalu dijangka dikeluarkan pukul 3 petang ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan perkara itu ketika ditanya mengenai kemajuan hasil siasatan tragedi berkenaan.
“Laporan itu akan dikeluarkan pada hari ini pukul 3 petang. Jadi tunggu laporan nanti. Itu adalah laporan daripada Biro siasatan Kemalangan Udara (BSKU) kita yang akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti Seremban di Stesen Bas Kuala Klawang, di sini hari ini.
Semalam Loke dilaporkan berkata, laporan akhir nahas pesawat di akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi.
Untuk rekod, pada 15 September tahun lalu, laporan awal yang diterbitkan mendedahkan tiada objek asing, bulu burung atau mana-mana bahan ditemui dalam komponen enjin kiri dan kanan pesawat Beechcraft 390 Premier 1.
Siasatan ke atas nahas tersebut dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) mengikut Annex 13 berdasarkan Konvensyen Chicago dan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016.-KOSMO! ONLINE