PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak meletakkan sebarang paksaan kepada jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang mengenai perancangan kariernya selepas ini.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, beliau percaya pemenang perak dan gangsa Oimpik itu akan membuat keputusan terbaik dalam kariernya selepas pernah mendedahkan keinginannya untuk bersara.
Amarjit merasakan Azizulhasni masih mempunyai tugas yang masih belum diselesaikan sekali gus meletakkan harapan cukup tinggi agar dia dapat membuat penampilan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2024 di Ballerup, Denmark dari 16 hingga 20 Oktober depan.
“Saya rasa api dalam dirinya masih membara, cuma dia tak sempat tunjukkan kemampuannya (Sukan Olimpik Paris 2024). Saya benar-benar berharap dia akan mempertimbangkan untuk menyertai Kejohanan Trek Dunia pada Oktober depan.
“Apapun segala keputusan Azizul perlu dibuat melalui keputusan bersama pasukannya,” kata Amarjit.
Azizulhasni yang disandarkan harapan menamatkan penantian untuk menjelmakan kilauan emas negara pada Olimpik Paris ditimpa malang selepas disingkirkan di saringan pertama keirin minggu lalu.
Atlet berusia 36 tahun itu dikesan melakukan kesilapan memintas pacer sekali gus dibatalkan penyertaan dan tidak dapat meneruskan perjuangan di Paris biarpun ketika itu skuad berbasikal negara membuat rayuan bagi membolehkannya terus berkayuh.
Disebabkan itu, Azizulhasni mengakui Olimpik Paris adalah penampilan terakhirnya, namun dia turut memberi bayangan sedia mempertimbangkan keputusan itu sejurus tiba di tanah air.
Pun begitu, bekas juara Asia itu memaklumkan dia memerlukan sedikit ruang kerana perlu memohon restu daripada ahli keluarganya dalam menentukan perjalanan kariernya selepas ini.