fbpx

‘Kami tunggu laporan terperinci, serah kepada polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHAT menyiram air ke atas pusara kedua ibu bapanya yang terkorban dalam kejadian kebakaran yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar hari ini.

MUAR – Ahli keluarga kepada tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat minggu lalu menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada pihak berkuasa.

Husin Mohamed Yassin, 72, yang merupakan adik kepada Allahyarham Mohamed, 82, berkata, insiden tragis itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia disyaki dilakukan oleh anak sulung adiknya.

Katanya, insiden itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada keluarganya selain turut memusnahkan rumah pusaka keluarga yang berusia 100 tahun.

“Pada awalnya saya menjangkakan insiden kebakaran hanyalah kemalangan biasa. Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan abang dan kakak ipar serta cucu mereka menjadi mangsa bunuh oleh darah daging mereka sendiri.

“Sekarang kami sekeluarga menanti siasatan terperinci pihak polis dan mengharapkan hukuman setimpal terhadap suspek utama sekiranya didapati bersalah,” katanya

Beliau yang juga peneroka di Bahau, Negeri Sembilan berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat.

Sementara itu, anak kepada pasangan warga emas terbabit, Mahat Mohamed Nor, 45, berkata, dia dan keluarga berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan sepanjang tuntutan jenazah.

“Kami sekeluarga diberitahu jenazah boleh dituntut selepas laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh pada Khamis.

“Alhamdulillah lega dapat sempurnakan jenazah ibu dan ayah selepas seminggu kami menunggu. Segala urusan dipermudahkan. Saya serahkan kepada pihak polis untuk lakukan siasatan terhadap kes ini,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat minggu lalu pasangan warga emas, Mohamed Nor Mohamed Yassin,82, dan Ara Abdul Hamid,76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran.

Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.

Pada Sabtu, Noradriana selamat disemadikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Paya Redan.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 kanun keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.

Pada Rabu lalu, suspek merupakan anak sulung mangsa yang ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, direman di Mahkamah Majistret Muar selama tujuh hari sehingga 20 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI