fbpx

Jual kentang goreng ‘tampung’ beli pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NETO menjadi pemain kesembilan dibeli oleh Maresca dalam jendela perpindahan ketika ini. - AFP

LONDON – Peminat bola sepak merasakan mereka telah menemui ‘sumber rahsia’ terhadap kemampuan kewangan Chelsea yang seakan tiada penghujungnya apabila terus berbelanja sakan memborong pemain ketika kali ini.

Chelsea hampir pasti akan menandatangani penyerang baharu sebelum jendela perpindahan ditutup 1 September ini dengan Joao Felix dan Victor Osimhen antara nama disebut-sebut bakal menjadi pemain terbaharu The Blues.

Sejak Todd Boehly mengambil alih dua tahun lalu, Chelsea telah berbelanja hampir £1.2 billion (RM6.84 billion dalam lima jendela perpindahan sehingga mempunyai lebih 50 pemain termasuk lapan penjaga gol tanpa dikesan oleh Peraturan Keuntungan dan Keseimbangan (PSR).

Bagaimanapun, para peminat merasakan mereka telah menemui sumber kewangan utama iaitu penjualan kentang goreng masala dengan harga tidak masuk akal berjumlah £7.50 (RM42.78) ketika aksi persahabatan menentang Inter Milan di Stamford Bridge baru-baru ini.

Menerusi perkongsian gambar ‘portion’ kentang goreng berkenaan dimuat naik oleh akaun makanan popular, Footy Scran, 54.3 peratus daripada 7,000 pengundi memilih untuk tidak membelinya dan menganggap ia adalah kerepek termahal pernah dilihat mereka.

“£7.50 (RM42.78) untuk satu kentang yang dihiris dan disapu rempah kari diatasnya. Patutlah mereka (Chelsea) boleh membeli 30 pemain dalam satu jendela perpindahan,” kata salah seorang pengguna dalam laman X.

Bagi jendela perpindahan musim panas kali ini, skuad bimbingan Enzo Maresca itu telah membeli sembilan pemain iaitu Tosin Adarabioyo, Marc Guiu, Caleb Wiley, Renato Veiga, Aaron Anselmino, Omari Kellyman, Filip Jorgensen, Kiernan Dewsbury-Hall dan Pedro Neto.

Sebagai rekod, Chelsea akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menentang juara bertahan, Manchester City di Stamford Bridge malam esok. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI