PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada syarikat dan pemilik kedai supaya tidak memberi tekanan kepada harga barang khususnya makanan apabila pelarasan gaji penjawat awam dilaksanakan Disember ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peringatan itu diberikan kepada peniaga dan syarikat berikutan pelarasan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dibuat secara berfasa.
“Saya harap pada bulan Disember jangan ada syarikat dan kedai ambil kesempatan kerana kita naik secara berfasa (pelarasan gaji), tidak harus beri tekanan kepada kos harga barang keperluan terutamanya makanan.
“Badan-badan penguatkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan bertindak tegas menerusi pegawai penguatkuasanya,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 penjawat awam pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Kali Ke-19, di sini hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, golongan peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan keperluan susulan pengumuman kenaikan gaji melibatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam.
Rata-rata orang ramai meluahkan rasa bimbang sekiranya terdapat penjual yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terutama makanan ekoran kenaikan gaji tersebut.
Orang ramai menggesa pihak berwajib supaya memantau perkara itu bagi mengelakkan ada pihak menangguk di air keruh susulan pengumuman berita gembira tersebut.
Pada masa sama, Anwar juga menyifakan kenaikan gaji penjawat awam menjadi mesej kepada sektor swasta untuk turut melaksanakan langkah serupa dalam menghargai kumpulan pekerja.
Katanya, tiada alasan untuk syarikat swasta yang menerima keuntungan tinggi, namun memberikan pekerja gaji rendah.
“Saya berharap sektor swasta akan meneliti semula supaya tekanan kepada rakyat dan golongan pekerja itu dapat dikurangkan dengan ada skim kenaikan gaji yang lebih munasabah.
“Terutamanya syarikat yang mencatatkan keuntungan yang besar. Dengan itu tiada sebab mengapa gaji kurang daripada RM2,000,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan MAPPA tadi. – KOSMO! ONLINE