KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia dijangka tidak akan melebihi paras tiga peratus tahun ini, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Pada masa sama, BNM mengekalkan unjuran julat inflasi Malaysia tahun ini pada dua hingga 3.5 peratus.
“Jangkaan ini telah memasukkan elemen rasionalisasi subsidi termasuk melibatkan petrol RON95 pada tahap tertentu, sebab itu julat unjuran adalah lebih besar.
“Namun buat masa ini pandangan kami ialah ia tidak melebihi paras tiga peratus, dan ini tentu sekali akan bergantung kepada polisi (rasionalisasi RON95) apabila ia dikeluarkan,” katanya pada sesi sidang akhbar membentangkan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun kedua 2024 di sini, hari ini.
Inflasi berpurata pada 1.8 peratus pada separuh pertama tahun 2024, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan harga bulanan lebih tinggi pada suku kedua yang mencerminkan pelarasan harga semasa musim perayaan serta beberapa langkah dasar oleh kerajaan sepanjang tempoh tersebut.
Abdul Rasheed berkata, inflasi dijangka meningkat sedikit pada separuh kedua tahun 2024 disebabkan terutamanya oleh rasionalisasi subsidi diesel, namun kesan daripada rasionalisasi tersebut kekal terurus berikutan langkah-langkah pengurangan oleh kerajaan untuk meminimumkan impak kos kepada perniagaan.
Pun begitu, beliau turut menegaskan bahawa reformasi struktur, yang antara lain turut melibatkan langkah rasionalisasi subsidi adalah sangat penting dan kritikal bagi meningkatkan daya asing negara.
“Kami telah melihat faedah dari beberapa reformasi awal seperti pembaharuan dalam tarif elektrik, air dan diesel, yang telah menarik minat pelabur.
“Kita mahu pertumbuhan ini berterusan dan ini peluang baik untuk pergi lebih jauh yang akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi,” katanya. – KOSMO! ONLINE