fbpx

Ibu tergamam lihat mayat anak, rakan terbaring atas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanisah menunjukkan gambar Muhammad Aqil (kanan) ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Tumpat hari ini. -Foto ROHANA ISMAIL / KOSMO!

TUMPAT – Dua sahabat yang merupakan penutut Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kota Bharu maut selepas motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Pasir Pekan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, Muhammad Aqil Zulaini dan rakannya, Mohammad Ameer Haziq Noor Ariff Irwantoo yang masing-masing berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ibu kepada Muhammad Aqil, Hanisah Mohd. Zain, 45, berkata, dia sudah tidur di rumahnya di Taman Sri Embun, Pasir Mas sebelum menerima panggilan telefon daripada anak saudara kira-kira pukul 12.45 tengah malam yang memaklumkan Muhammad Aqil terlibat kemalangan.

“Meskipun tidak tahu keadaan sebenar Muhammad Aqil, hati saya tidak sedap dan terus bergegas keluar rumah dengan suami. Saya hanya mampu tergamam selepas melihat jenazah anak yang sudah terbaring di atas jalan.

“Saya tidak kuat untuk melihat jenazah Muhammad Aqil lebih-lebih ada yang mengatakan kaki kiri arwah putus dalam nahas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tumpat, di sini hari ini.

Hanisah yang merupakan guru di sebuah sekolah rendah berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol, Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan mendapati, sebuah MPV jenis Honda BR-V dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan.

Menurutnya, dua remaja berusia 18 tahun yang menunggang motosikal masing-masing dari arah sama membuat pusingan U untuk berpatah balik ke arah Kota Bharu.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu MPV itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh kedua-dua motosikal tersebut.

“Dua remaja itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat di sini untuk dibedah siasat,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI