SINGAPURA – Seorang wanita diarah oleh sebuah mahkamah tinggi di Singapura supaya membayar hutang kepada seorang rakannya berjumlah SG$466,700 (RM1.56 juta), lapor portal berita The New Paper hari ini.
Plaintif yang dikenali sebagai Natasha Mak-Levrion, menyaman wanita terbabit, R. Shiamala untuk mendapatkan semula wangnya sebanyak SG$525,200 (RM1.76 juta).
Namun, Natasha hanya dapat memberikan bukti urusan pengeluaran wang sebanyak SG$487,700 (RM1.63 juta) oleh wanita tersebut.
Semua pinjaman itu dibuat dalam masa tiga tahun.Selepas mengambil kira bahawa SG$21,000 (RM70,595) telah dibayar balik selama ini, mahkamah mendapati Shimala masih berhutang sebanyak SG$466,700.
Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan semalam, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamed Faizal menulis: “Kemurahan hati seorang rakan yang nampaknya tidak berkesudahan dan kepercayaan yang tidak kena pada tempatnya telah dieksploitasi oleh orang lain.
“Apabila tiba masanya untuk membayar, pihak lain (penerima hutang) yang mampu lakukan ialah mengelak, mengabaikan dan menentangnya secara berterusan,” katanya. – AGENSI