KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi muda perlu berani bersuara mengenai pelbagai isu nasional dan global seperti kemanusiaan, rasuah, jurang kemiskinan dan persekitaran.
Perdana Menteri itu menjelaskan, masyarakat memerlukan generasi pelapis yang bersemangat dengan idea-idea yang seiring dengan perkembangan masa.
“Dalam populasi kita ini ada wanita ada jurang kemiskinan serta golongan terpinggir. Jadi anak muda mesti berani berdiri, bersuara tentang isu-isu yang menjadi perhatian dan keutamaan kita.
“Saya berharap supaya semua mahasiswa yang menyertai program tersebut menggunakan peluang dengan sebaiknya untuk bertukar-tukar pandangan berlandaskan prinsip masing-masing.
“Saya bangga semangat yang ditunjukkan, kita harus guna ruang ini sebaik mungkin, memanfaatkan waktu, ikat silaturahim, timba pengalaman dengan teman-teman dan pertahan cita-cita murni dan idealisme (masing-masing).
“Apalah erti hidup tanpa pegangan prinsip dan nilai, Apalah erti kekayaan dan ilmu kalau tidak dijadikan nilai yang baik sebagai paksi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan program tersebut sebagai usaha memastikan generasi pelapis pemimpin negara didedahkan dengan pelbagai isu nasional dan global.
Program yang berlangsung di WTCKL bermula hari ini sehingga Ahad melibatkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada 46 buah negara merupakan komitmen KPT dalam menyediakan wahana dan peluang kepada mahasiswa.
Kesemua mahasiswa berpeluang untuk penyerlahan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan dan kemahiran pengucapan awam. -KOSMO! ONLINE.