fbpx

MYAirline diperintah bayar RM17.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan MYAirline Sdn. Bhd. membayar caj perkhidmatan lapangan terbang tertunggak berjumlah RM17.7 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. dan Malaysia Airports Sdn Bhd.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan kedua-dua syarikat itu selaku plaintif mendapatkan penghakiman terus terhadap MYAirline (defendan).

Ketika membacakan keputusan penghakiman terus, Techiong mengarahkan defendan membayar RM9.1 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) selaku plaintif pertama dan RM8.6 juta kepada Malaysia Airports (plaintif kedua).

Mahkamah turut membenarkan defendan membayar kos RM10,000 kepada setiap plaintif.

Pada 9 November 2023, kedua-dua plaintif memfailkan permohonan untuk mendapatkan penghakiman terus atas alasan wang dituntut daripada defendan masih terakru dan terhutang selain defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tindakan saman itu.

Terdahulu, Techiong turut menolak permohonan MYAirline dengan kos RM30,000 untuk membatalkan saman yang difailkan oleh kedua-dua plaintif dan meneruskan dengan penghakiman terus (tanpa perbicaraan).

MYAirline memfailkan permohonan pada 24 November 2023 untuk membatalkan saman itu atas alasan plaintif perlu menggunakan satu mekanisme penyelesaian pertikaian seperti dinyatakan dalam Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sebelum memfailkan saman tersebut.

Oleh itu, ujar defendan, tindakan plaintif adalah tidak sah atau pramatang kerana mereka tidak mematuhi serta tidak menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian tersebut.

Pada 18 Oktober 2023, plaintif-plaintif menyaman MYAirline kerana gagal membayar enam jenis caj perkhidmatan berjumlah RM17,747,553.02 antara Mac hingga Ogos 2023.

Caj tertunggak itu termasuk caj perkhidmatan penumpang dan keselamatan penumpang berjumlah RM10,863,478.90, bayaran pendaratan RM5,445,555.45, bayaran parkir RM176,017.92, bayaran aerobridge RM655,760, bayaran kaunter daftar masuk RM267,367 dan caj bayaran lewat sebanyak RM339,373.72.

Pada prosiding itu, peguam Shannon Rajan, Eric Gomez dan Katelyn Yeoh mewakili Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. dan Malaysia Airports Sdn Bhd. manakala Nesema Jalaludheen mewakili MYAirline. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI