LANGKAWI – Persepsi negatif ke atas Langkawi dipercayai dicetuskan oleh individu yang tidak faham tentang pasaran serta konsep pelancongan yang ditawarkan di pulau peranginan terkenal negara itu.
Pengurus Besar Hotel Adya, Syed Muhammad Firdaus Syed Putra berkata, Langkawi sebenarnya menawarkan kepelbagaian sektor pelancongan merangkumi dari percutian bajet hingga kategori mewah.
“Sebagaimana kita bercuti di tempat lain termasuk di luar negara, ada tempat yang murah dan mahal. Ada dakwaan kata semua yang ada di Langkawi ini mahal, namun itu semua tidak betul.
“Ini kerana, Langkawi ini mempunyai gabungan percutian iaitu bajet dan juga mewah yang mana satu-satunya tempat yang mempunyai gabungan itu adalah di Langkawi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kata beliau, banyak tarikan di pulau itu juga lebih menarik berbanding yang ada di pusat peranginan di Thailand.
“Sebagai contoh, kereta kabel kita tidak kalah jika dibandingkan dengan kereta kabel di Hatyai, malah kita cantik lagi. Banyak tarikan menarik ditawarkan di destinasi kereta kabel kita yang mana pengunjung boleh juga ke Muzium 3D Langkawi, Langkawi Skybridge serta tarikan terbaharu Eagle’s Nest Skywalk,” ujarnya.
Malah, beliau berkata, Hotel Adya yang bertaraf empat bintang turut menawarkan harga makanan murah iaitu steamboat pada harga RM39 dan shellout pada harga RM29 sahaja.
“Jika ke gerai-gerai makan pun, banyak yang menawarkan pada harga murah,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Sdn. Bhd., Datuk Alexander Isaac berkata, orang ramai tidak boleh menyamakan sektor pelancongan Langkawi dengan Hatyai yang terletak berhampiran sempadan negara serta boleh diakses secara jalan darat.
“Kita tak boleh bandingkan dengan Hatyai tetapi banding dengan Bali, Indonesia dan Phuket, Thailand. Jika ke sana (Bali dan Phuket), harga lebih mahal berbanding Langkawi,” katanya. – KOSMO! ONLINE