JAKARTA – Perbuatan seorang budak perempuan melambai tangannya ke langit semasa jenazah ayahnya masih di rumah pada waktu malam membuat pengguna media sosial ketakutan, lapor saluran berita Tribun semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @depi.syafira, orang ramai dilihat berkumpul membacakan surah Yasin untuk arwah yang dibalut sempurna dengan kain kafan.
Tidak lama kemudian, budak itu berdiri di depan pintu rumah lalu melambaikan tangannya sambil tersenyum.
Lebih mengejutkan, dia mengaku terlihat ayahnya yang meninggal dunia di atas langit.
“Ayah di atas langit,” kata budak itu.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen. Malah, ada yang mengaku terdengar bunyi ayam berkokok.
“Kanak-kanak tidak akan menipu, mungkin dia betul-betul melihatnya,” kata netizen.
“Ayam berkokok di tengah-tengah malam, itu mungkin petanda,” kata netizen lain. – AGENSI