fbpx

Biar bergegar jiwa anak Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada artis yang bakal menjayakan Konsert Jiwa Merdeka di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 7 September nanti. – SYAKIR RADIN

DEMI menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini, buat julung kalinya Perbadanan Stadium Malaysia bakal menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia 2024.

Menariknya konsert yang akan berlangsung pada pukul 8 malam, 7 September ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur menghimpunkan band dan penyanyi popular tanah air.

Antara yang bakal membuat persembahan adalah, Spider, Bunkface, Dolla, Ruffedge, Insomniacks, Hujan dan undangan istimewa, Bella Astillah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Illiyas Jamil penganjuran Konsert Jiwa Malaysia 2024 bukanlah untuk bersaing dengan penganjur konsert yang lain sebaliknya, sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia terutama golongan muda.

“Bertemakan ‘Jiwa Malaysia’, konsert ini bukan sahaja untuk menghiburkan penonton tetapi juga menerapkan semangat patriotik dalam kalangan penonton terutama golongan muda.

“Barisan penyanyi yang dipilih pula mewakili setiap generasi dan kesemua mereka masih kekal relevan sehingga hari ini.

“Mungkin selain lagu popular, setiap artis akan menyanyikan sebuah lagu kenegaraan,” tutur Illias pada sidang media acara berkenaan di Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi penuh kontroversi, Bella Astillah menjadi satu-satunya penyanyi solo yang akan membuat persembahan pada konsert berkenaan.

Kata Illias pemilihan bekas isteri pelakon Aliff Aziz itu bukanlah atas faktor kontroversi sebaliknya bagi mewakili khalayak dari Sabah dan Borneo.

“Soal pemilihan Bella, sebenarnya kami mahu mengumpulkan pelbagai kaum dan dia dari Sandakan, Sabah. Itu sahaja, tidak ada sebab lain,” terang Illias lagi.

Bella pula mengakui terkejut dengan tawaran untuk menyertai konsert berkenaan.

“Sejujurnya saya juga terkejut tetapi saya anggap ini adalah rezeki untuk anak-anak.

“Walaupun hanya menyanyikan dua buah lagu, konsert ini sangat bermakna kerana ini kali pertama saya akan menyanyi di depan 15,000 penonton.

“Masih ada masa untuk membuat latihan dan hadiri kelas vokal. Sebagai wakil Sabah dalam konsert ini saya akan cuba buat yang terbaik,” ujar Bella.

Spider yang diwakili vokalisnya Tam mendedahkan mereka bakal mendendangkan sekitar 8 sehingga 10 buah lagu dalam persembahan berdurasi 30 minit.

“Kita cuba beri yang terbaik mungkin akan ada lagu kenegaraan tetapi semuanya masih dalam peringkat perbincangan.

“Harapan saya cuma satu, peminat hadir memberikan sokongan kepada kami semua,” luah Tam.

Menyasarkan 15,000 penonton Konsert Jiwa Malaysia 2024 meletakkan harga tiket yang berbaloi iaitu RM120 (berdiri) dan RM90 (duduk).

Pembeli tiket awal akan mendapat potongan harga iaitu RM70 (berdiri) dan RM50 (duduk).

Tiket boleh dibeli menerusi laman web, https://ilassotickets.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI