LENGGONG – Polis menahan tiga individu berhubung kes penemuan bayi perempuan baru lahir yang masih bertali pusat di pekan Titi Serong, Parit Buntar Rabu lalu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang wanita atau dua lelaki termasuk yang membuat laporan polis berhubung penemuan bayi tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pada pukul 5.45 petang, 14 Ogos lalu pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya di Parit Buntar.
Individu itu menyatakan dia dan rakannya berusia 22 tahun menjumpai bayi perempuan baru lahir di belakang tong sampah. bayi itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Bagan Serai.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kerian mendapati ada keraguan dan percanggahan fakta dalam keterangan pengadu dan rakannya,” katanya pada Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Perak ‘Katakan Tidak Pada Jenayah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad di sini hari ini.
Hasil siasatan lanjut ke atas dua lelaki itu mendapati laporan polis yang dibuat adalah palsu. Bayi itu merupakan anak kepada individu yang membuat laporan polis hasil hubungan sulit dengan wanita berusia 20 tahun di Tanjung Piandang.
“Susulan pengakuan tersebut polis menangkap tiga individu yang bekerja di sebuah kilang di Parit Buntar,” katanya. – KOSMO! ONLINE