fbpx

Wanita tertekan, dijadikan ‘bank’ selepas kahwin dengan warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Seorang wanita didakwa mengalami tekanan sehingga berniat untuk membunuh diri ekoran dibebani hutang selepas berkahwin dengan lelaki warga asing.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menerusi hantaran di laman X.

Menurut Marina, beliau menerima panggilan daripada wanita itu yang disyaki berada dalam tekanan melampau, semalam.

“(Semalam) jumpa dia. Penjawat awam, hilang kerja, tekanan sampai nak bunuh diri. Berkahwin dengan lelaki warga asing yang 17 tahun lebih muda.

“Lelaki ni edar ‘flyers’ (risalah) sahaja dulu, dah perhatikan akak ini lama. Jadi dia kahwin dan gunakan akak ni sebagai ‘bank’ untuk buat pinjaman dan sebagainya,” katanya.

Kata Marina, beliau mendapati modus operandi lelaki tersebut adalah berkahwin dengan wanita Malaysia untuk dijadikan bank.

“Akak inj berkali-kali nak bunuh diri, tertekan. Dia cakap dengar suara suruh gantung diri, terjun. Nangis-nangis dia cerita tadi, tapi dia cakap dia lega sebab ada kawan bercakap hari ini,” ujarnya.

Selain masalah penipuan dan hutang, Marina berkata, lelaki warga asing itu turut dipercayai sering melanggan wanita sehingga terkena penyakit kelamin.

“Baru sebulan kahwin, sudah terkena penyakit kelamin. Akak ini cuba bertahan selama 12 tahun reda. Dia pun pesan dengan wanita dekat luar sana jangan mudah terperdaya,” jelasnya.

Tambah Marina, dia kini sedang mendapatkan bantuan kaunseling untuk wanita berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu mengesan terdapat lelaki warga asing yang mengahwini wanita tempatan semata-mata untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan.

Pengarahnya, Azhar Abd. Hamid berkata, taktik menjadikan wanita tempatan sebagai ‘mangsa’ kepentingan peribadi itu dikhuatiri semakin meluas dalam kalangan masyarakat menyebabkan ia sukar untuk dibendung.

Beliau berkata, berdasarkan rekod pada 2023, sebanyak 925 perkahwinan dengan warga asing direkodkan di mana 73 daripadanya adalah perkahwinan baharu dan 852 merupakan permohonan lanjutan pas pasangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI