PUNCAK ALAM – “Umi reda dan doakan anak syurga saya.”
Ibu Allahyarham Nidza Afham iaitu Irni Yusnita, 54, reda dengan pemergian anak kelimanya yang ditemui berhampiran Sungai Klang, Klang semalam.
Meski diselubungi rasa sedih, Irni tetap bersyukur kerana badan jenazah dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kecederaan.
“Ketika saya jumpa telefon dan dompet Afham, kami sudah ada rasa mungkin dia di bawah (dalam sungai).
“Jadi malam itu, selepas laporan polis, saya terus solat dan berdoa meminta Tuhan pulangkan Afham dalam keadaan sempurna seperti mana keadaan arwah Dia berikan ketika dilahirkan.
“Jadi, apapun yang berlaku kepada Afham ketika ajalnya, saya sudah tidak peduli sebab Allah Maha Sat, kalau ada yang berniat jahat, pasti ada balasan,” katanya kepada Kosmo! Online selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.
Dalam masa sama, dia juga berasa tenang selepas melihat keadaan badan arwah tanpa sebarang kecederaan serius seperti patah.
Irni juga berlapang dada sekiranya pihak polis mahu meneruskan siasatan lanjut mengenai kematian Afham.
“Tugas kita, adalah reda dan bersyukur serta hati saya betul-betul tenang apabila masuk tengok masuk lihat raut wajah Afham ketika mandi, tiada satu pun yang terpatah.
“Allah beri saya kesempurnaan itu seperti mana saya lahirkan dia, cukuplah.
“Tak mahu fikirkan itu sebab bukan kerja saya. Kalau mereka nak teruskan siasatan, silakan. Doakan anak syurga saya,” katanya lagi.
Hari ini, jenazah Allahyarham Nidza selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam di sini, sekitar pukul 6.45 petang tadi.
Terdahulu, pihak polis mengklasifikasikan kes Afham sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bedah siasat terhadap mayat pemuda berusia 23 tahun itu didapati tiada kecederaan fizikal.
Sebelum itu, segala urusan bedah siasat terhadap jenazah selesai dijalankan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam, Shah Alam hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui sekitar Jambatan Sungai Klang adalah Nidza Afham, 23, yang dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, di sini, kelmarin.
Pengesahan itu dibuat menerusi jersi yang dipakai ketika mayat itu ditemui. – KOSMO! ONLINE