fbpx

Tak pernah arah Google tutup ‘currency exchange’ – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi dan ciri kadar pertukaran yang telah dinyahaktifkan di kotak carian Google.

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak pernah memberi arahan kepada Google Malaysia untuk menutup kemudahan kadar pertukaran di kotak carian seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Katanya, penutupan kadar pertukaran di kotak carian Google dibuat selepas mendapat maklum balas daripada Bank Negara Malaysia.

“Saya tidak pernah arah Google tutup currency exchange (kadar pertukaran) di search box (kotak carian) seperti yang saudara tuduh.

“Google Malaysia ambil tindakan menurunkan ‘widget’ itu selepas mendapat maklum balas Bank Negara Malaysia,” ciapnya dalam satu hantaran di aplikasi X hari ini.

Ciapan beliau bagi membalas dakwaan seorang individu yang mengganggap ciri kadar pertukaran tiada dalam kotak carian adalah disebabkan arahan daripada kementeriannya.

Tambah Fahmi, Google memaklumkan pihaknya masih menjalankan ujian pembekal data FX yang telah dikenal pasti.

“Pihak Google memaklumkan mereka masih menjalankan ujian dengan pembekal data FX yang dikenal pasti, dan akan kembalikan ‘widget’ itu bila mereka lebih yakin kesilapan data tidak lagi berulang,” katanya.

Pada 15 Mac lepas, Google telah menyiarkan kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit yang tidak tepat di laman kewangannya.

Ini merupakan insiden kedua Google menyiarkan data kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit yang tidak tepat pada tahun ini yang mana pertama kali berlaku pada 6 Februari.

Sehubungan itu, Google Malaysia telah membuat permohonan maaf atas kesilapan berkenaan kadar pertukaran Dolar Amerika Syarikat(AS)-Ringgit yang disiarkan di laman kewangannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI