fbpx

Tak kisah RTG dikritik ‘Road to Gangsa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH percaya RTG memberikan banyak manfaat kepada jurulatih dan atlet di peringkat elit. - FAIZ ALIF

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak berkecil hati dengan kritikan ‘pedas’ peminat sukan tanah air yang melabel program Road to Gold (RTG) kepada Road to Gangsa berikutan kegagalan kontinjen Malaysia membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Tegasnya, misi RTG bukan sekadar memburu emas di Paris 2024 kerana ia adalah program jangka masa panjang yang dilaksanakan bagi dua temasya Sukan Olimpik sehingga edisi Los Angeles 2028.

“Kritikan itu memang sentiasa ada kerana peminat sukan pelbagai, semua orang minat sukan dan semua rasa mereka ada hak memberi kritikan. Itu kita terima kerana semua orang ada platform masing-masing, media sosial untuk menyatakan pendapat mereka.

“Kita di peringkat elit, paling penting adalah pendapat pengarah teknikal, jurulatih kerana mereka lebih tahu. Kita sudah dengar daripada jurulatih badminton seperti Rexy Mainaky, John Beasley (berbasikal trek) dan pemegang taruh kita (di) RTG adalah jurulatih serta atlet.

“Kalau jurulatih dan atlet kata tanpa RTG, mereka tak mungkin akan dapat prestasi seperti ini, maka kita terimalah. Itu adalah hakikat, mereka yang merasai semua faedah RTG, pemegang taruh secara langsung,” katanya.

Kontinjen negara mengakhiri Olimpik Paris dengan dua pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Woh Wooi Yik dan perseorangan profesional, Lee Zii Jia selain turut menyaksikan semangat juang luar biasa daripada atlet-atlet lain.

Sementara itu, Beasley berharap RTG dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga ke Olimpik Brisbane 2032 untuk melihat ia menuai hasil sambil menggesa semua pihak terus memberikan sokongan terhadap program yang mula diwujudkan Mac tahun lalu.

“Kita ada kitaran Olimpik yang lain, jadi saya fikir ia perlu diteruskan kerana mereka menyokong kami bukan sahaja dari segi peralatan, malah emosi juga. Mungkin ia memerlukan sedikit masa untuk membina sesuatu yang istimewa dan perlu diteruskan sehingga Brisbane,” katanya.

Pada masa sama, Beasley turut meminta mana-mana pihak yang berhasrat memansuhkan RTG supaya berfikir sebaik-baiknya kerana program tersebut mampu memberi manfaat kepada ekosistem sukan Malaysia.

“Jika anda benar-benar serius untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan, program ini perlu diteruskan. Sesiapa yang mahu menghentikan RTG, mereka mungkin tidak faham mengenai sukan,” ujarnya.

CAPTION

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI