fbpx

PRK DUN Nenggiri: Pilih calon ada ciri-ciri pemimpin macam Pok Ya Cong Codei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Calon Perikatan Nasional,Mohd. Rizwadi Ismail (kanan) dan pencabarnya daripada Barisan Nasional, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) bertanding pada PRK DUN Nenggiri Sabtu ini.

GUA MUSANG – Keperibadian dan susuk seperti watak utama telefilem arahan Sabri Yunus iaitu Pok Ya Cong Codei dilihat boleh dijadikan rujukan dalam memilih wakil pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Khairun Nizam Mohammad Yusuff berkata, watak Pok Ya merupakan seorang gedebe (samseng) yang sentiasa tenang dan tidak mudah melatah, sebaliknya cuba menyelesaikan setiap masalah dengan dengan penuh hikmah.

Menurutnya, karakter Pok Ya juga mempamerkan kualiti seorang pemimpin yang amanah dan tidak sesekali mengambil kesempatan ke atas pengikutnya.

“Pok Ya yang dilakonkan oleh Sabri sendiri juga bukan seorang yang ego dan mudah meminta maaf apabila dia sedar akan kesilapannya ketika berurusan dengan seorang lelaki berkaki palsu.

“Paling mengagumkan, kemuliaan hatinya apabila memberikan hampir keseluruhannya wang upah yang diperoleh untuk menampung kos perubatan seorang wanita yang tidak dikenalinya,” katanya.

Khairun Nizam memberitahu, ciri-ciri seperti Pok Ya merupakan representasi pemimpin berjiwa rakyat yang sanggup berkorban apa sahaja demi melihat kebahagiaan orang lain.

Mengulas mengenai persamaan Pok Ya dan PRK Nenggiri, beliau berkata, janji politik atau manifesto terus dijadikan instrumen penting parti bertanding untuk meraih kepercayaan pengundi yang sebenarnya sudah kebal dengan cakap elit politik.

Menurutnya, ada yang menjanjikan projek pembangunan seperti naik taraf kemudahan, bantuan pertanian dan skim pinjaman perniagaan dengan nilai jutaan ringgit yang tidak pernah pun diminta rakyat.

“Semanis apa pun sebuah janji politik, ia tentu tidak terlepas daripada kepentingan orang yang mengucapkan janji tersebut sama ada presiden parti, pengarah strategi pilihan raya, calon bertanding, atau peraih undi.

“Sudah tentu bahasa politik yang digunakan mereka dalam menjelaskan janji berkait rapat dengan komitmen yang dibuat dan kepentingannya kepada pengundi sekiranya dipilih kelak,” ujarnya.

Khairun Nizam berkata, sekiranya faktor itu mahu dijadikan kayu ukur, adakah susuk seperti Pok Ya Cong Codei boleh dijadikan rujukan dalam memilih wakil rakyat bagi DUN Nenggiri?

Menurutnya, sehubungan itu, seramai 20,590 pemilih berdaftar di DUN Nenggiri yang akan mengundi pada Sabtu ini perlu membuat pilihan yang bijak demi masa depan yang lebih baik untuk anda dan generasi seterusnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI