fbpx

PRK DUN Nenggiri: Ada cubaan hasut penduduk tidak keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bendera parti yang bertanding pada PRK DUN Nenggiri memenuhi kawasan sepanjang jalan Kampung Limau Kasturi, Gua Musang. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH / KOSMO!

KOTA BHARU – Polis mengesan terdapat cubaan untuk mempengaruhi individu lain agar tidak menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya memandang serius dan tindakan tegas boleh diambil kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan yang menakut-nakutkan individu selain menimbulkan provokasi melampau.

Menurutnya, perbuatan itu boleh menggangu sistem demokrasi dan ketenteraman awam seperti yang termaktub di dalam Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Polis sentiasa memastikan perjalanan pilihan raya mengikut proses demokrasi dapat dijalankan tanpa sebarang halangan.

“Justeru, pihak polis memberi jaminan bahawa semua pengundi akan dapat keluar mengundi dengan selamat, tanpa ragu-ragu dan bebas membuat pilihan dengan tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu agar tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki bagaimanapun memberitahu, masih ada jentera parti atau individu yang menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi kehendak pilihan raya.

Menurutnya, parti politik atau individu dilarang menimbulkan provokasi antara satu sama lain bagi mengelakkan ketenteraman awam tergugat.

“Sikap itu yang sepatutnya ditekankan oleh semua pemimpin parti politik kerana kita percaya dan harapkan PRK kali ini boleh dijadikan contoh kepada pilihan raya yang lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI