WASHINGTON – Pengasas biskut kuki terkenal Famous Amos meninggal dunia pada usia 88 tahun, demikian menurut kenyataan yang ditandatangani oleh anak-anaknya, lapor portal berita CNN semalam.
Dalam kenyataan itu, anak-anak Wally Amos berkata, punca kematian bapa mereka adalah kerana komplikasi demensia.
“Dia ialah wira asli Amerika kulit hitam yang sebenar,” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Sarah, Michael, Gregory dan Shawn Amos.
Amos yang dilahirkan di Tallahassee, Florida membuka kedai biskutnya pada tahun 1975 di Sunset Boulevard, Los Angeles.
Dia menjual biskut coklat bersaiz kecil yang merupakan sesuatu yang baharu pada masa itu, menurut laman web syarikat Amos.
Kedai itu yang menjual biskut dihasilkan daripada resipi keluarganya telah menarik perhatian golongan selebriti dan pemuzik Hollywood.
“Saya mula membuat biskut hanya untuk mencari rezeki dan gembira melakukan apa yang saya lakukan. Saya sangat komited (tentang kuki),” katanya dalam wawancara dengan Detroit Black Journal pada 1991.
Bermula dari situ, dia mencipta empayar biskut.
Amos juga seorang tokoh dalam budaya pop AS.
Dia terkenal selepas muncul sebagai kameo dalam sitkom The Office, drama The Jeffersons’ serta ‘Teksi’.
Amos menjual jenama biskutnya kepada sebuah syarikat persendirian pada tahun 1988 selepas bertahun-tahun bergelut dengan masalah kewangan. – AGENSI