KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) memulakan operasi hari pertama lorong bas di Jalan Klang Lama hari ini dengan kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Ketua Pembangunan Infrastruktur Bas, Rapid Bus, Zainurul Hakim, lorong bas tersebut merupakan yang ketiga selepas diperkenalkan di jalan Ampang dan Jalan Genting Klang bagi mengatasi kesesakan trafik terutamanya ketika waktu puncak.
“Ketiga-tiga projek ini dilaksanakan di bawah inisiatif jawatankuasa menangani kesesakan lalu lintas yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kemudian jawatan kuasa teknikal diketuai oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“Sepertimana projek dua lorong bas, lorong bas di Jalan Klang akan melalui percubaan selama enam bulan sebelum diputuskan sebagai lorong bas kekal.
“Dalam tempoh percubaan ini kita akan melihat dari segi penerimaan pengguna awam, kesan kepada lalu lintas, kelajuan bas dan peningkatan jumlah pengguna yang kemudian akan dibentang di dalam jawatankuasa tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena hari pertama operasi lorong bas Jalan Klang Lama di Hentian Bas Pearl Point di sini hari ini.
Jelas Zainurul, perlaksanaan lorong bas di Jalan Klang lama itu sangat bertepatan memang trafik di situ sangat sesak dan penduduk sekitar bergantung dengan pengangkutan bas memandangkan terletak berjauhan dengan sistem transit aliran ringan (LRT) dan sistem transit aliran massa (MRT).
“Lorong bas sepanjang 6.37 kilometer (km) itu bermula dari Jalan Puchong ke Jalan Klang Lama Off Jalan Halimahton yang akan beroperasi untuk kedu-dua arah iaitu menghala ke pusat bandar dan keluar dari pusat bandar.
“Waktu operasi bermula 6 pagi hingga 8 malam, Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
“Rapid KL menjangkakan lorong bas Jalan Klang lama akan memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit dari Kinrara ke arah pusat bandar raya,” katanya.
Lorong bas itu memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Puchong, Sri Manja, Taman Kinrara, Taman Desa, Taman OUG dan Jalan Kuchai Lama.
Ujarnya, sebelum ini sudah ada lorong bas iaitu jarak sekitar 100 meter sahaja berbanding inisiatif tiga lorong bas yang jaraknya lebih panjang bagi menangani kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, Zainurul turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan untuk tidak menggunakan lorong bas yang disediakan bagi melancarkan pergerakan bas dan pengangkutan awam lain yang turut menggunakan lorong sama.
“Jelasnya, lorong bas itu akan dipantau oleh pihak berkuasa dan sekiranya didapati mana-mana kenderaan menggunakan laluan bas tersebut maka, tindakan undang-undang akan dikenakan” katanya – KOSMO! ONLINE