LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui pening kepala memikirkan pemain yang sesuai untuk menjadi ‘jeneral’ dalam kesebelasan utama pasukan menjelang aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Ipswich Town di Portman Road pada Sabtu ini.
Sebagai rekod, The Reds masih memburu pemain untuk mengisi posisi No. 6 apabila dikaitkan dengan perpindahan mendapatkan bintang Sepanyol, Martin Zubimendi yang cemerlang di Euro 2024 baru-baru ini.
Menurut Slot, buat masa sekarang barisan kejurulatihan terpaksa membuat eksperimen bagi meneliti pemain yang sesuaibermain di posisi tersebut selepas memberikan peluang kepada Ryan Gravenberch dan Wataru Endo.
“Sebelum ini saya dah melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utama dan mencuba pemain-pemain yang kita miliki untuk untuk beraksi di posisi No. 6. Buat masa sekarang, hanya Gravenberch dan Endo yang sesuai di posisi tersebut.
“Namun, saya juga tidak menolak kemungkinan jika beberapa pemain tengah lain turut diberi peranan tersebut seperti Dominik Szoboszlai yang memiliki kualiti bertahan yang baik.
“Apa yang pasti, saya masih memiliki masa sebelum memikirkan kesebelasan terbaik menjelang perlawanan kompetitif pertama pasukan nanti. Kita akan gunakan aset kita yang ada sebaik mungkin,” katanya.
Difahamkan, Zubimendi mengambil keputusan untuk menolak tawaran The Reds kerana mahu kekal di Real Sociedad.
Namun, Liverpool sudah memiliki beberapa pemain alternatif yang boleh dijadikan pilihan seperti Manu Kone daripada Borussia Monchengladbach, Alan Varela (Porto) dan Ederson (Atalanta) untuk dibeli dalam tempoh perpindahan ketika ini. – AGENSI