MANCHESTER – Benteng pertahanan Manchester United boleh dianggap mendapat nafas baharu sebaik sahaja pasukan itu melengkapkan perpindahan duo Bayern Munich, Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui.
Ia dijangka mampu menyelesaikan masalah kerapuhan benteng pertahanan The Red Devils yang menyaksikan mereka melepaskan 58 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada saingan musim lalu.
Bagaimanapun, perpindahan tersebut tidak disenangi legenda United, Paul Scholes yang menganggap De Ligt bukanlah pemain tepat untuk menyelesaikan masalah dihadapi United pada ketika ini.
Beliau menganggap tonggak Belanda itu tidak memiliki kredibiliti antara pertahanan terbaik apabila khidmatnya jarang digunakan bersama Bayern dan tidak mampu mengatasi bekas bek tengah ‘buangan’ Tottenham Hotspur, Eric Dier yang lebih menjadi pilihan kelab berkenaan.
“Dia (De Ligt) tidak banyak bermain bersama Bayern, jadi ia sedikit sebanyak merunsingkan saya. Ketika bersama Bayern, dia tidak mampu untuk bersaing dengan Eric (Dier) dan ia adalah sesuatu yang membimbangkan,” katanya.
Tambah Scholes, beliau juga tidak berkenan dengan polisi perpindahan United mendapatkan khidmat pemain-pemain yang pernah beraksi di bawah pengurus, Erik ten Hag ketika bersama Ajax sebelum ini.
“Anda tidak boleh membelanjakan wang yang banyak semata-mata mendapatkan bekas pemainnya (Ten Hag) sebelum ini. Bagi saya, De Ligt adalah pemain ‘kelas kedua’ kerana Juventus juga pernah melepaskannya,” ujarnya. – AGENSI