PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan ‘doktor segera’ yang menyamar di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sempat melakukan prosedur rawatan termasuk memberikan preskripsi ubat kepada pesakit.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan, namun pihaknya tidak menerima laporan seumpama itu.
Menurut beliau, doktor penyamar berusia 14 tahun itu sememangnya didapati sering berlegar di hospital itu, tetapi tidak melakukan sebarang prosedur perubatan.
“Cuma dia sendiri yang sebenarnya cuba mendapatkan rawatan di hospital itu. Walaupun demikian, dia sempat melarikan diri.
“Penyamarannya terbongkar apabila petugas-petugas kesihatan di sana mengesyaki ada sesuatu tidak kena (dengan remaja itu),” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat media berkaitan kesihatan mental dan Program MySAVE serta Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan mendakwa, remaja perempuan itu bertindak licik apabila berjaya menyamar sebagai doktor selama kira-kira dua bulan tanpa disedari petugas lain. – KOSMO! ONLINE