PETALING JAYA – Semua pihak harus meningkatkan kepantasan dalam memberi kelulusan bagi menjadikan Malaysia tumpuan para pelabur dalam rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak tersebut membabitkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan.
“Kerajaan Madani akan terus memperkasa agenda bagi memudahcara perniagaan (ease of doing business) meski negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan dari segi kecepatan kelulusan pembangunan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian setelah selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-45 yang berlangsung hari ini.
Mesyuarat tersebut adalah platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, mesyuarat hari ini juga membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Katanya, perbincangan itu bagi mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.
“Insya-Allah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik,” ujarnya.
Mesyuarat hari ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan barisan jemaah menteri lain termasuklah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa. – KOSMO! ONLINE