fbpx

‘Kalau bukan sebab Mira, kami tak tahu abang hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menurut Aufahanie, kekasih Allahyarham abangnya bernama Mira sangat terkesan dengan berita pemergiannya. – NAJWA HASRAN

SHAH ALAM – “Kekasih arwah abang antara individu paling sedih ketika ini.”

Demikian kata penyanyi, Aufahanie saat ditanya mengenai perkembangan keadaan terkini kekasih abangnya, Allahyarham Nidza Afham yang dikenali sebagai Mira.

Menurut Aufa, jika bukan kerana Mira, mereka sekeluarga tidak akan tahu tentang kehilangan abangnya kelmarin.

“Dia sangat terkesan dengan kejadian ini. Dia adalah orang terakhir yang berhubung dengan abang. Dia yang berkongsi tentang kehilangan abang.

“Ketika itu sudah pukul 1.30 pagi dan kami semua sudah tidur. Kalau dia tak maklumkan, kami pun tak tahu abang tiada dalam biliknya,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam sini, hari ini.

Berkongsi lanjut, Aufahanie berkata keadaan emosi Mira ketika ini masih tidak stabil.

“Ketika ini Mira sentiasa berada di samping ibu kerana ibu juga berada dalam keadaan yang sangat lemah sejak semalam.

“Mereka sama bersedih dan Mira memang tak jangka langsung kejadian sebegini akan berlaku.

“Dia juga orang terakhir yang berkomunikasi dengan abang menerusi WhatsApp. Kalau bukan sebab dia, mungkin kami sekeluarga tak tahu yang arwah hilang,” ujarnya.

Tambah Aufa, sebelum proses bedah siasat, beberapa ahli keluarga juga sudah disoal siasat sebelum proses bedah siasat hari ini.

“Tadi sudah berjalan proses soal siasat untuk teruskan bedah siasat dan tahu sama ada, wujud unsur jenayah atau tidak. Sebab itu ambil masa lama sedikit.

“Soal siasat membabitkan ayah, abang dan adik. Dua orang lelaki penarik kereta yang membantu mencari abang di jambatan juga disoal siasat,” ujarnya.

Sehingga kini, proses bedah siasat jenazah Nidza masih berjalan di Unit Perubatan Forensik di sini dan dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Bukit Cherakah, Puncak Alam selepas asar.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui sekitar Jambatan Sungai Klang adalah Nidza Afham, 23, yang dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, di sini, kelmarin.

Pengesahan itu dibuat menerusi jersi yang dipakai ketika mayat itu ditemui. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI