fbpx

Jijoe terima ketentuan, berdamai dengan takdir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memilih berdamai dengan takdir biarpun tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa selepas impiannya membawa pulang sebutir pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir kecewa. 

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu telah memberikan segala jiwa terhadap sukan berbasikal kerana misinya untuk menamatkan kemarau pingat emas Olimpik hingga terpaksa meletakkan keluarga di tempat kedua.

Bagaimanapun, apa yang dirancang pelumba berusia 36 tahun itu tidak berjalan seperti yang dimahukan apabila penyertaannya dibatalkan pada pusingan pertama acara keirin yang menyebabkan percubaan meraih emas terkubur.

“Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan yang saya alami pada detik itu. Tidak pernah saya terfikir yang perkara seperti ini akan berlaku. Saya hadir ke Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara tercinta. 

“Mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi terlalu besar membuat saya hilang kawalan. Tidak sama sekali, semuanya berada di ‘dos’ yang sepatutnya.

“Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih daripada pembedahan jantung dahulu. 

“Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu. Dari awal karier hingga sekarang mereka sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia.

“Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Semua yang berlaku di dunia ini sudah ditentukan sebelum kita diciptakan lagi dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali Allah, jika tak saya tidak tahu bagaimana untuk menghadam dan memproses segala yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu berkata, dia bersedia untuk membantu pasukan selepas ini jika khidmatnya diperlukan.

“Selepas perlumbaan (Olimpik Paris) John Beasley dan Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) serta pasukan harap saya boleh pertimbang beraksi di (Olimpik) Los Angeles 2028 (La28) tetapi saya perlu duduk bersama keluarga dan melapangkan fikiran.

“Apapun, buat masa ini kalau pasukan perlukan saya untuk melatih pasukan atau menjadi rakan sparring untuk pelumba-pelumba muda, saya boleh pertimbangkan. Kalau untuk kekal hingga ke LA28 saya perlukan masa untuk memutuskannya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI