PUNCAK ALAM – Suasana hiba menyelubungi urusan pengebumian jenazah Allahyarham Nidza Afham di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam di sini, sekitar pukul 6.45 petang tadi.
Kira-kira 300 orang hadir mengiringi perjalanan terakhir arwah termasuk ibunya, Irni Yusmira dan kakaknya, yang juga penyanyi, Aufahanie, ahli keluarga serta kenalan terdekat.
Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Puncak Alam sekitar pukul 6 petang untuk disembahyangkan.
Urusan pengebumian hari ini turut disempurnakan Nazir Masjid Puncak Alam, Aiman Wafiy Roslan.
Sebelum itu, segala urusan bedah siasat terhadap jenazah selesai dijalankan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam, Shah Alam hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat seorang lelaki ditemui sekitar Jambatan Sungai Klang adalah Nidza Afham.
Hasil bedah siasat ke atas mayat, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE