fbpx

K2

Hasilkan imej orang sudah mati guna AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GENERATIF AI membolehkan imej orang sudah mati ‘dihidupkan’ semula dan kelihatan seperti asli. – Gambar hiasan

Saya mempunyai soalan, adakah dibenarkan perbuatan menggunakan aplikasi ‘Generative AI’ dalam menghasilkan kerja kreatif digital memaparkan wajah insan yang telah meninggal dunia sebagai salah satu jalan meluahkan rasa kesedihan dan rindu kepada insan tersayang?

Jawapan: Kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) telah memberi impak kepada dunia dalam pelbagai aspek kehidupan manusia.
AI merupakan satu bentuk sistem komputer yang mampu meniru cara manusia berfikir sehingga merubah cara bekerja manusia dan landskap kehidupan manusia.

Seiring dengan teknologi big data dan internet of things (IoT), teknologi ini telah melahirkan Revolusi Perindustrian 4.0.

Salah satu bidang AI yang kebelakangan ini sedang mendapat tempat dalam kalangan para pencipta karya digital khususnya mereka yang bekerja dalam bidang grafik dan fotografi adalah Generative AI (GenAI).

Generative AI ialah salah satu cabang daripada AI yang digunakan untuk menghasilkan konten berdasarkan berbagai jenis input. Input dan output model AI ini dihasilkan dalam pelbagai bentuk dokumen seperti teks, gambar, suara, animasi, model tiga dimensi, atau jenis data lainnya.

Teknologi generatif AI juga dikatakan mampu menghasilkan grafik digital yang berkualiti sehingga sukar dibezakan dengan karya asli dihasilkan manusia.

Meskipun Generative AI membawa banyak manfaat, namun ia telah mencetuskan cabaran dan isu etika dari segi hak cipta dan kepemilikan intelektual.

Akhir-akhir ini timbul pelbagai aplikasi yang menggunakan teknologi AI mampu menganimasikan foto orang yang telah meninggal dunia dimuat naik seolah-olah kelihatan hidup.

Hukum melukis gambar makhluk yang tidak bernyawa seperti pokok-pokok atau gunung-ganang adalah harus. Ada pun hukum melukis gambar makhluk yang hidup dan sempurna adalah haram menurut Majoriti ulama. Hal berdasarkan sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya mereka yang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat seraya diseru, ‘Hidupkan apa yang kalian buat.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW juga bersabda: “Manusia yang paling pedih azabnya pada hari kiamat adalah orang yang berusaha menyaingi ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas berkata: “Ulama besar mazhab Syafi’i (Ashab al-Syafi’i) dan lainnya berpandangan bahawa hukum melukis makhluk yang bernyawa adalah tersangat haram dan ia termasuk dalam dosa besar.

Hal ini demikian kerana pelakunya diancam dengan ancaman keras yang disebutkan dalam beberapa hadis, sama ada dalam keadaan yang dihina atau selainnya, maka hukumnya haram. Ia termasuk dalam bab cubaan untuk menyaingi ciptaan Allah SWT.”

Kesimpulannya:
i) Para ulama berselisih pandangan tentang hukum penghasilan imej. Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i, hukum menghasilkan imej makhluk yang bernyawa adalah haram, manakala sebahagian ulama kontemporari ada yang menyatakan tidak haram.
ii. Hukum menghasilkan imej orang yang meninggal dunia menggunakan teknologi Generative Ai, iaitu seseorang memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi untuk gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital mengambil sama seperti hukum melukis gambar.
iii. Hukum melukis gambar sama ada orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab yang munasabah menurut syarak hukumnya adalah haram menurut majoriti ulama. Namun, penggunaan menghasilkan imej digital untuk tujuan kemaslahatan dan keperluan seperti tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan.
iv. Kami menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi yang ada. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara. Wallahu a’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI