PETALING JAYA – “Cerita sahaja macam mana awak tergilakan saya. Benda baik jangan malu.”
Demikian seloroh pelakon Riena Diana yang secara selamba mengusik kekasihnya, Keith Foo ketika diminta berkongsi detik pertama berputiknya cinta antara mereka.
Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, berharap aktor berdarah campuran Cina dan India itu membuat pengakuan terbuka di hadapan peminat tentang kejayaan menakluk hatinya yang sukar dimiliki.
“Tanya Keith, sebab dia yang tergilakan saya. Ceritalah jangan malu-malu, jangan malu-malu sayang.
“Hampir nak bomoh, sebab terlampau sukakan Riena Diana. Sebab saya tak pandang dia,” kata Diana menerusi sesi siaran langsung dalam TikTok.
Semasa bersiaran langsung melayan pertanyaan peminat, pasangan selebriti itu dilihat sedangkan menikmati makanan laut di sebuah restoran.
Keith, 42, yang sesekali tergelak mendengar celoteh kekasihnya itu kelihatan malu-malu apabila wajahnya turut bertukar kemerah-merahan.
Puas mengusik, Riena yang juga bintang utama drama Kampung People itu mengambil peluang memuji sikap budiman teman lelakinya.
Menurut pelakon Wanita Syurga itu, Keith seorang individu tegas, tetapi masih kental dengan sisi humor yang menyenangkan.
“Dia sebenarnya seorang yang kelakar walaupun tak tunjuk sangat tapi pada masa sama dia sangat tegas.
“Saya pula susah nak dengar cakap orang, tapi cakap Keith saya dengar. ‘Husband material’,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat terhibur dengan gelagat spontan kedua-duanya yang saling mengusik.
“Lawak dengar ‘part’ Keith sebut bongok,” kata seseorang netizen.
“Serius, lelaki berumur ni akan kalah dengan perempuan banyak cakap,” komen peminat lain.
Pada Jun lalu Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu untuk siaran TV3.
Mengakui mempunyai banyak persamaan, status duda anak satu juga bukan penghalang kerana baginya paling penting Keith bukan suami orang.
Keith pula pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE