PETALING JAYA – Kehilangan orang tersayang bukan satu perkara mudah untuk diterima, namun itu yang perlu dilalui oleh kakak sulung kepada penyanyi Allahyarham Nidza Afham iaitu Efahanie.
Tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal, Efahanie kongsikan keinginan Allahyarham Nidza Afham atau nama lengkapnya Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang ingin dikenali khalayak menerusi aplikasi X.
Efahanie yang dipanggil oleh Kekfa oleh Nidza Afham berkata dia tidak menyangka impian adiknya untuk menjadi terkenal itu rupanya akan pergi (meninggal dunia) dalam keadaan menyayat hati.
“Afham pernah cakap dia nak jadi terkenal. Satu Malaysia kenal adik Kekfa (nama panggilan Efahanie) sekarang, tapi bukan begini Am (Nidza Afham). Bukan begini, Allah,” tulisnya dalam aplikasi X.
Dalam pada itu, Efahanie turut memberitahu tentang perancangan untuk membuat tempahan di sebuah lokasi bagi percutian mereka sekeluarga setelah sekian lama tidak menghabiskan masa bersama.
“Kami rindu Am. Kekfa nak buat tempahan di sebuah tempat sebab sudah lama tidak bercuti satu keluarga.
“Tidak sangka pula macam ini kita semua akan berkumpul,” ujarnya yang membalas hantaran Afham yang dibuat pada 16 Mei lalu di X.
Efahanie turut menceritakan pengalaman dia sekeluarga sepanjang tempoh pencarian Allahyarham yang dilaporkan hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor kira-kira pukul 11.53 malam sebelum dilaporkan hilang pada pukul 7.45 petang kelmarin.
“Semalam waktu begini kita sudah di luar aktif mencari semua tempat, moga dapat jumpa Am semula. Sampai petang Kekfa ada di sungai rasa tiada hala tuju.
“Kami doa agar Allah tunjukkan di mana Am berada. Mulut Kekfa kata reda kalau Am sudah tiada. Sekarang reda itu berat Am,” katanya.
Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan mayat lelaki dewasa yang ditemukan di Sungai Klang adalah Nidza Afham.
Mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat sementara keputusannya dipercayai akan diketahui petang ini.
Sementara itu dompet dan telefon bimbit milik penyanyi lagu Ternyata Bukan Aku tersebut ditemui di Jabatan Sungai Klang, Klang.
Sebelum ini Nidza Afham yang juga abang kepada penyanyi Aufahanie pernah menyertai program realiti I Can See Your Voice 3. – KOSMO! ONLINE