IPOH – Seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan dijumpai di dalam besen berhampiran tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan dua lelaki selepas terdengar bunyi tangisan ketika melalui kawasan berkenaan pada pukul 4.50 petang.
Katanya, bayi malang dengan berat 2.1 kilogram itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum lelaki terbabit membuat laporan polis.
“Ketika dijumpai, bayi itu dibalut dengan sehelai kain dan diletakkan di dalam besen di belakang dua tong sampah hijau di bahu jalan.
“Berdasarkan pemeriksaan, bayi itu kelihatan tidak sihat dan dalam keadaan kesejukan. Kita juga tidak tahu berapa lama dia diletakkan di lokasi berkenaan sebelum dijumpai orang awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE