IPOH – Seorang banduan lelaki warga Iran ditahan bersama 76 gram (g) dadah jenis heroin di Penjara Tapah semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 39 tahun itu dibuat pada 1.15 petang di dewan penjara setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika pegawai penjara menghampiri banduan itu yang sedang duduk bersendirian menghadap dinding, dia ternampak lelaki tersebut mengambil sesuatu dari dalam seluar sebelum mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna merah ke atas lantai.
“Pemeriksaan pada plastik itu kemudian menjumpai dua peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna kuning disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 46g dan satu peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu disyaki dadah sama seberat 30g,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas sama ada tangkapan ke atas banduan itu mempunyai kaitan dengan kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke dalam Penjara Tapah, minggu lalu, Azizi berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya. – KOSMO! ONLINE