JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) secara rasmi memberikan bonus kepada barisan atlet dan pelatih negara itu yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai tanda penghargaan buat mereka.
Menerusi laporan CNN Indonesia, Jokowi mengumumkan ganjaran tersebut itu bukan sahaja kepada pemenang pingat, malah kepada mereka yang pulang dengan tangan kosong kerana sudah membanggakan nama Indonesia di pentas dunia.
Menurut Jokowi, hadiah tunai yang diberikan bermula Rp250 juta (RM70,000) hingga Rp6 miliar (RM1.7 juta) adalah penghargaan buat atlet yang bekerja keras untuk mengharumkan nama negara di Paris.
“Pertama, saya ingin mengucapkan ucapan terima masih dan penghargaan setinggi-tingginya kepada atlet yang sudah berjuang di Olimpik 2024 dan memberikan kebanggaan luar biasa bagi bangsa dan rakyat Indonesia.
“Sebagai bentuk penghargaan atas prestasi membanggakan ini, pemerintah telah menyiapkan bonus sebesar Rp6 miliar (RM1.7 juta) untuk pemenang pingat emas, Rp1.65 miliar (RM467,000) untuk pemenang pingat lain (perak dan gangsa).
“Selain itu, Rp2.75 miliar (RM779,000) untuk jurulatih atlet yang meraih pingat emas dan pelatih pemenang pingat perak dan gangsa pula mendapat Rp675 juta (RM191,000).
“Bonus sebanyak Rp250 juta (RM70,000) untuk atlet yang tidak mendapat pingat turut diberikan sebagai sebuah penghargaan,” katanya dipetik daripada laporan CNN Indonesia.
Indonesia berjaya meraih dua pingat emas menerusi Veddriq Leonardo dan Rizki Juniansyah sekali gus meraih pencapaian terbaik sejak edisi 1992 di Barcelona. – AGENSI