PETALING JAYA – Selepas empat bulan berjauhan demi perjuangan memburu pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Azizulhasni Awang akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya di Melbourne, Australia.
Isterinya, Datin Athiah Ilyana Abd Samat berkongsi momen kepulangan suami tercinta di TikTok selepas lama terpisah sejak Azizul meninggalkan mereka demi mendapatkan latihan serta fokus terbaik untuk beraksi di sukan dunia tersebut.
Jaguh berbasikal negara itu disambut dengan tangisan kegembiraan oleh isteri dan anak-anak yang sudah lama memendam rasa rindu apabila tempoh perpisahan kali ini adalah paling lama buat mereka.
“Setelah menunggu begitu lama, akhirnya dia milik saya.
“Saya berdoa agar pengorbanan yang kami lakukan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda. Setiap nikmat datang dari Allah, dan segala kekurangan adalah milik kita.
“Semoga para belia melihat betapa luasnya dunia ini, dipenuhi dengan rahmat Allah yang tidak berkesudahan. Ingat, perancangan Allah sentiasa lebih baik daripada perancangan kita atau orang lain. Mereka merancang, tetapi Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang,” katanya.
Meskipun kepulangan The Pocket Rocketman kali ini tidak berjaya membawa sebarang pingat untuk negara, namun kesungguhan yang ditunjukkan beliau sepanjang acara berbasikal tersebut amat dikagumi oleh seluruh rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE
@tyajojo POV when your dad is back from Olympic . #azizulawang #parisolympics2024 ♬ Standing In The Eyes Of The World – Ella