JAKARTA – Seorang lelaki tampil memohon maaf selepas video memaparkan perbuatannya yang mengacukan ‘pistol’ ke arah pemandu sebuah kereta, menjadi tular di laman sosial, lapor laman berita Detik semalam.
Fajar Handika Nugraha, 24, berkata, alat itu sebaliknya adalah pistol mainan milik adiknya, dan bukan senjata api sebenar.
“Saya memohon maaf kepada mangsa khususnya masyarakat Bandung. Saya menyesal melakukan hal tersebut kerana ia meresahkan penduduk.
“Senjata tersebut sebenarnya pistol mainan adik saya,” kata Fajar selepas ditahan polis tempatan.
Sebelum itu, sebuah rakaman video yang dikongsikan di platform X menunjukkan seorang penunggang motosikal muncul dari tepi sebuah kereta.
Dia mengacukan apa yang kelihatan seperti pistol ke arah pemandu kenderaan itu, membuatkan mangsa ketakutan.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca Fajar bertindak demikian.
Kejadian berlaku di kawasan jejambat Supratman, Kota Bandung, wilayah Jawa Barat.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bandung, Asisten Komisioner Besar Polis Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mempertemukan Fajar dengan mangsa dan mereka sudah berdamai. – AGENSI