fbpx

[VIDEO] ‘Biasanya sebelum joging dia beritahu, tapi kali ini tidak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu kepada penyanyi dan YouTuber, Nidza Afham iaitu Irni Yusmira yang didakwa hilang sejak semalam berharap anak lelakinya itu ditemui segera dalam keadaan selamat.

Menurut Irni atau nama penuhnya, Irni Yusmira Istihat, 54, ahli keluarga termasuk adik-beradik Afham kini berpecah dalam misi mencari penyanyi tersebut di beberapa kawasan sekitar Klang.

“Setakat pagi tadi, adik-beradik sudah semak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di persekitaran stadium iaitu lokasi Afham joging.

“Hasil semakan, memang ada kelibat Afham dalam CCTV sekitar pukul 9 malam di bangunan berdekatan stadium.

“Ada satu rakaman memaparkan dia memegang botol air dipercayai selepas joging,” katanya kepada media secara virtual hari ini.

Ditanya sama ada anak lelakinya mempunyai musuh, Irni menafikan hal tersebut dan menyifatkan Afham sebagai anak yang baik.

“Afham tiada musuh dan memang tidak nampak langsung ke arah itu. Sebelum joging, saya ada program di Tanjung Karang dan dia keluar rumah lepas Maghrib, memang tak jumpa.

“Selalunya dia akan maklumkan kepada saya kalau hendak pergi mana pun tetapi kali ini tidak,” ujarnya seraya mendedahkan rumahnya terletak di Bandar Puteri Klang.

Berkongsi keadaan dan emosi seluruh keluarga, Irni berkata, mereka kini berusaha dan berdoa agar Afham ditemui segera.

“Pastinya kami sangat terkejut, tambahan pula dia tak pernah timbulkan masalah, baik dan seorang yang tenang.

“Adik-beradik Afham semua berusaha untuk cari dia. Adik bongsu pun bersungguh-sungguh cari abang dia.

“Memang sedih dan menangis pun sudah dan kami tak berhenti berdoa termasuk kawan-kawan.

“Harap dia dijumpai secepat mungkin dalam keadaan selamat dan harap tiada apa-apa yang berlaku pada dia,” katanya lagi.

Terdahulu, kehilangan penyanyi juga YouTuber itu sejak semalam yang kini belum menunjukkan petanda positif.

Walaupun masih buntu, itu tidak mematahkan semangat ahli keluarga untuk berdoa dan mengharapkan berlakunya keajaiban.

Aufa memaklumkan, dalam media sosial miliknya bahawa abangnya hilang selepas keluar berjoging.

Turut disertakan dalam Instragram termasuklah tangkap layar kronologi kehilangan Nidza yang hanya membalas mesej keluarga kali terakhir pada pukul 9.04 malam sebelum hilang sehingga kini.

Nidza atau nama sebenarnya, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, berketinggian sekitar 175 sentimenter dan pernah viral dalam YouTube apabila lagu saduran dendangannya, Rindu Setengah Mati mendapat lebih 6 juta tontonan dalam laman perkongsian video tersebut.

Laporan polis juga telah dibuat pihak keluarga di Balai Polis Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI