PETALING JAYA – “Kami gesa cari dalam sungai tapi polis tak galak.”
Demikian perkongsian terbaharu penyanyi, Aufahanie berhubung misteri kehilangan abang tersayang, Nidza Afham yang masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang.
Aufahanie atau nama sebenarnya, Aufa atau nama lengkapnya Nur Aufahanie Mokhtar, 21, berkata, selepas lebih 12 jam berlalu, masih tiada khabar berita tentang keberadaan darah dagingnya itu.
“12 jam berlalu masih tiada khabar tentang abang.
“Kami gesa polis cari dalam sungai tetapi mereka tak galak,” katanya menerusi ruangan komen hantaran dalam Instagram.
Ramai dalam kalangan netizen mengharapkan penyudah yang baik-baik buat abang kepada pelantun lagu Geming Jiwa.
“Semoga dalam segenap sunyi, dia ditemui kembali. Semoga doa ini menuntun langkahnya kembali pulang.
“Cepatlah balik Am. Dah janji nak buat cover banyak-banyak untuk saya kan,” demikian antara komen netizen.
Sementara itu, ahli keluarga Aufa juga berikhtiar untuk mencari termasuk apabila bapanya, Mokhtar Mahmud melaungkan azan di lokasi terakhir Nidza dikesan iaitu di sekitar jambatan Sungai Klang.
Terdahulu, kehilangan penyanyi juga YouTuber, Nidza Afham sejak semalam yang kini belum menunjukkan petanda positif.
Walaupun masih buntu, itu tidak mematahkan semangat ahli keluarga untuk berdoa dan mengharapkan berlakunya keajaiban.
Aufa memaklumkan, dalam media sosial miliknya bahawa abangnya hilang selepas keluar berjoging.
Turut disertakan dalam Instragram termasuklah tangkap layar kronologi kehilangan Nidza yang hanya membalas mesej keluarga kali terakhir pada pukul 9.04 malam sebelum hilang sehingga kini.
Nidza atau nama sebenarnya, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, berketinggian sekitar 175 sentimenter dan pernah viral dalam YouTube apabila lagu saduran dendangannya, Rindu Setengah Mati mendapat lebih 6 juta tontonan dalam laman perkongsian video tersebut.
Laporan polis juga telah dibuat pihak keluarga di Balai Polis Klang. – KOSMO! ONLINE