fbpx

Tiada perilaku ganjil, kehilangan penyanyi, YouTuber masih misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kehilangan Abang penyanyi Aufahanie, Nidza Afham masih misteri sehingga ke saat ini.

PETALING JAYA – Kehilangan penyanyi juga YouTuber, Nidza Afham sejak semalam yang kini belum menunjukkan petanda positif tidak mematahkan semangat ahli keluarga untuk berdoa dan mengharapkan berlakunya keajaiban.

Mewakili keluarga, penyanyi Aufahanie yang juga adik kepada Nidza berkata, setakat ini dia sekeluarga tidak berhenti meneruskan pencarian di sekitar lokasi terakhir keberadaan abangnya di sekitar jambatan Sungai Klang di samping menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa.

Aufa atau nama lengkapnya Nur Aufahanie Mokhtar, 21, berkata, abangnya itu juga tidak menunjukkan sebarang perilaku pelik sebelum gagal dihubungi ketika keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang, semalam.

“Sejak jam 1 pagi sampailah sekarang, kami sekeluarga masih mencari abang di sekitar Klang dan Jambatan Sungai Klang. Abang tak ada menunjukkan sebarang tanda pelik. Dia okey saja.

“Setiap hari, memang kami akan berborak sebab kami suka berkongsi video kelakar dari TikTok antara satu sama lain. Semuanya nampak normal.

“Kami masih menunggu pihak berkuasa dan juga berikhtiar untuk terus mencari abang di sekitar Klang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut Aufa, pihak keluarga menyedari kehilangan Nidzar selepas disedari teman wanitanya dikenali sebagai Miera yang juga individu terakhir dihubungi sejurus tiba di Stadium Sultan Suleiman.

Menggunakan aplikasi carian telefon pintar, keluarga mengesan lokasi terakhir penyanyi itu berada iaitu di Jambatan Sungai Klang seterusnya menemukan telefon serta dompetnya.

“Abang pergi joging dan dia ada update dengan kekasihnya bahawa dia sudah sampai di stadium. Sekitar pukul 9 malam dia tidak balas mesej dan kekasihnya cuba menjejaki telefon abang.

“Lokasi terakhir telefon adalah di Jambatan Sungai Klang terus statik di situ. Ibu dan adik kemudian ke sana untuk mencari.

“Dengan bantuan dua lelaki yang ada di sana, ibu menemukan telefon bimbit dan dompet abang,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, pelantun lagu Saat Hilang Cintamu itu memaklumkan dalam media sosial miliknya bahawa abangnya telah hilang selepas keluar berjoging.

Turut disertakan dalam Instragram Aufahanie termasuklah tangkap layar kronologi kehilangan Nidza yang hanya membalas mesej keluarga kali terakhir pada pukul 9.04 malam sebelum hilang sehingga kini.

Nidza atau nama sebenarnya, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, berketinggian sekitar 175 sentimenter dan pernah viral dalam YouTube apabila lagu saduran dendangannya, Rindu Setengah Mati mendapat lebih 6 juta tontonan dalam laman perkongsian video tersebut.

Laporan polis juga telah dibuat pihak keluarga di Balai Polis Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI