fbpx

Suspek berang ibu saudara cuba lerai pergaduhan – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian mangsa maut ditikam suspek dengan gunting di Kampung Gelung Bubu, Butterworth, kelmarin.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang menikam ibu saudaranya menggunakan gunting di Gelung Bubu, Pekan Darat, Butterworth, di sini semalam direman selama tujuh hari sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Superintendan C. Tharmalingam berkata, suspek yang ditahan semalam, kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) susulan kecederaan dialaminya pada bahagian kepala.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek dan ibunya baru pulang ke rumah terbabit sebelum berlakunya perselisihan faham antara mereka berdua.

“Mangsa yang juga ibu saudara suspek cuba untuk meleraikan pergaduhan itu, namun suspek berang dan bertindak menikam mangsa yang berusia 80 tahun itu sehingga mati.

“Ibu suspek turut ditolak sehingga terjatuh sebelum dia keluar dari rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan ibu suspek yang berusia sekitar 70-an dirawat di Hospital Kepala Batas (HKB) dan telah dibenarkan pulang.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia negatif dadah dan polis sedang menunggu laporan lengkap doktor bagi mengenal pasti sama ada suspek mengalami masalah mental atau sebaliknya,” katanya.

Semalam, media melaporkan cubaan seorang wanita warga emas meleraikan pergaduhan antara dua beranak berakhir dengan tragedi apabila dia maut ditikam di kepala dengan gunting di sebuah rumah di Pekan Darat.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini bagi mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI