KUALA SELANGOR – “Arwah amat gembira memakai busana kemerdekaan itu dan kami tidak menyangka ia permintaan terakhirnya,”
Itu luahan pilu Mohd. Azril Kamarudin, 35, bapa kepada murid perempuan berusia lapan tahun yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor – Rawang di sini, semalam.
Menurutnya, Allahyarham Nur Arissa Safiyya menyatakan hasrat mahu memakai pakaian sempena sambutan hari kemerdekaan minggu lalu.
“Bagi memenuhi permintaannya, isteri saya (Norshaniza Mohamad Nayan, 34) kemudian membeli pakaian itu secara dalam talian,” katanya sebak ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, jenazah murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai di sini, kira-kira pukul 10.10 pagi.
Tambah Mohd. Azril, anak sulung daripada tiga beradik itu sempat memakai pakaian berkenaan ketika majlis pelancaran bulan kemerdekaan di sekolahnya kelmarin.
Ditanya mengenai keadaan isterinya yang turut cedera dalam kemalangan itu, beliau berkata, mangsa masih berada di wad kecemasan Hospital Tanjong Karang.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang murid perempuan maut manakala ibunya yang juga guru parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di jalan tersebut ketika menuju pulang ke rumah mereka sekitar pukul 2 patang. – KOSMO! ONLINE