PETALING JAYA – Usaha seorang lelaki untuk membuat kejutan sempena sambutan ulang tahun kelahiran teman istimewanya berakhir dengan kekecewaan.
Ia berikutan, temannya itu yang dikenali sebagai Ain tidak sudi untuk menghadirkan diri ke lokasi berkenaan.
Menerusi perkongsian video di TikTok picnicwithus_, ia memaparkan situasi yang dialami oleh salah seorang pelanggannya.
Berdasarkan video berdurasi 30 saat itu, kelihatan lokasi berkenaan sudah lengkap dengan dekorasi piknik yang disediakan oleh pengusaha berkenaan.
Bagaimanapun, pelanggannya pada saat akhir memberitahu pengusaha berkenaan bahawa dia terpaksa membatalkan kejutan tersebut.
“Kak, (minta maaf), orang yang saya nak sambut hari lahir tak sudi datang. Akak makan lah kek itu, saya halalkan. Maaf susahkan akak,” kata lelaki terbabit.
Sehubungan itu, pengusaha wanita tersebut terus mengajak lelaki itu untuk makan bersama, namun ditolak kerana sedih.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial turut bersimpati dan berseloroh dengan tindakan Ain kerana tidak sudi.
“Kenapa Ain, kenapa. Sampai hati buat macam itu. Kita pun rasa sedih,” kata Asyeera.
“Sedihnya. Dah lah tak pernah dapat kejutan macam ini,” ujar Elis. – KOSMO! ONLINE