REMBAU – Seorang ibu tunggal dari Kampung Titian Akar di sini terpaksa melalui pelbagai dugaan dan cabaran selepas rumah pusaka yang didiami sejak lima tahun lalu semakin reput dan hanya menunggu masa untuk runtuh.
Norsham Mustafa, 59, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori pendengaran juga terpaksa menyediakan bekas tadahan air setiap kali hujan memandangkan atap rumahnya bocor sejak setahun lalu.
Adiknya, Rozita, 57, berkata, rumah pusaka itu sudah berusia lebih 60 tahun dan mereka lapan beradik tidak mempunyai kemampuan untuk membaik pulih kerosakan yang mencecah RM10,000.
“Sebelum ini memang kami kemas dan jaga rumah pusaka ini serta membuat beberapa pembaikan, namun kini kosnya terlalu tinggi. Kakak saya Norsham yang merupakan anak keenam pulang ke kampung selepas kematian suami pada tahun 2019 dan menetap di sini.
“Cuma awal tahun ini, kediaman ini makin uzur dan atapnya bocor di sana sini dan ada yang terbang ditiup angin. Kami bimbang berlaku litar pintas terutama ketika hujan,” katanya ketika ditemui di Kampung Titian Akar, di sini semalam.
Ujarnya lagi, dia amat berharap agar permohonan baik pulih rumah pusaka itu dapat disegerakan atas faktor keselamatan kakaknya yang tinggal berseorangan.
Rozita yang tinggal bersebelahan dengan rumah pusaka itu berkata, sebelum ini mereka ada memohon bantuan baik pulih rumah dari Pejabat Daerah Rembau selain Baitulmal.
“Bagaimanapun, kos sebut harga yang diberikan oleh kontraktor sangat tinggi mencecah RM10,000 dan Baitulmal telah menyerahkan wang bantuan sebanyak RM1,500 bagi tujuan baik pulih tersebut.
“Wang berkenaan masih ada dan sudah pasti kami tidak mampu menampung kos sebenar baik pulih ini. Justeru, kami berharap agar agensi kerajaan yang lain mahupun individu berkemampuan dapat membantu meringankan beban kami,” jelasnya.
Sementara itu, mana-mana individu yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun BSN 01160 3029124860100013 atas nama Norsham Mustafa.