JAKARTA – Seorang remaja berusia 17 tahun cedera selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang, dirempuh sebuah skuter yang datang dari arah berlawanan di Aceh, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @unikinfold, mangsa yang membawa motosikal jenama Ducati itu terjatuh dan terbaring kesakitan di atas jalan raya.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan penunggang skuter dengan selamba membuat pusingan u secara tiba-tiba di tengah jalan yang sibuk sebelum berlaku pelanggaran.
Kejadian berlaku di Jalan Banda Aceh-Medan, berhadapan Balai Polis Lhokseumawe, sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan).
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 122,000 tontonan. Rata-rata netizen mengecam tindakan penunggang skuter kerana dianggap membahayakan keselamatan orang lain.
“Memang boleh lawan arus?” sindir netizen.
“Sudah salah berlawanan arus, kena ganti rugi lagi. Itu motosikal mahal,” sindir netizen lain. – AGENSI