fbpx

Prasarana tambah 300 buah van Rapid DRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Azharuddin (dua dari kanan), mencuba menggunakan perkhidmatan van Demand Responsive Transit (DRT), di Stesen LRT Taman Bahagia, Petaling Jaya hari ini.- Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menambah sebanyak 300 buah van baharu bagi perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) di bawah operasi Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, van-van baharu itu dijangka akan diterima bermula Disember 2024 dengan 30 buah van dan selebihnya akan diterima secara berfasa sehingga Jun 2025.

Katanya, penambahan jumlah van adalah bagi menampung peningkatan permintaan bagi perkhidmatan Rapid DRT yang diperkenalkan untuk menyokong perkhidmatan sedia ada Rapid Bus dan juga menjadi tunggak kesalinghubungan ‘first-last mile’ bagi perkhidmatan rel Rapid KL di Lembah Klang.

“Sejak perkhidmatan ini dimulakan, maklum balas yang positif diterima daripada rakyat di mana penggunanya telah mencapai seramai 126,656 penumpang setakat 31 Julai tahun ini. Kami akan meneruskan usaha ini dengan bayaran serendah RM1 sebagai harga pengenalan ataupun percuma bagi pengguna kad My50.

“Pihak kerajaan telah memberikan dana untuk membeli sebanyak 300 buah van di mana fasa pertama akan sampai bulan Disember ini. Ini adalah amat penting kerana memberi satu penyelesaian penambah baikan untuk penumpang,” katanya ketika sidang akhbar taklimat dan lawatan bersama media di LRT Taman Bahagia di sini hari ini.

Beliau berkata, penambahan van tersebut adalah komitmen pihak kerajaan dan Prasarana untuk memberi kemudahan kepada pengguna pengangkutan awam dengan menggunakan inisiatif-inisiatif berlandaskan teknologi dan inovasi.

“Sejak diperkenalkan pada Mei 2023 dengan hanya satu laluan menggunakan sebuah van, perkhidmatan Rapid DT di Lembah Klang kini telah dikembang kepada sembilan laluan dengan 18 buah van.

“Perkhidmatan Rapid DRT juga telah dilancarkan di Pulau Pinang pada 1 Ogos 2024 dengan satu laluan menggunakan dua buah van,” katanya.

Mohd Azharuddin berkata, van tersebut mempunyai sistem yang maju di mana lengkap dengan televisyen litar tertutup (CCTV), ‘feed tracking system’ yang mana keberadaan van boleh dijejak sekali gus merupakan ciri keselamatan yang tinggi untuk pengguna.

“Servis Rapid DRT tersedia buat orang ramai dalam radius 2 kilometer (km), buat masa ini pembayaran adalah menggunakan kad Touch ‘n Go atau kad My50 bagaimanapun kami dalam perolehan untuk membuat cara pembayaran terbuka yang boleh digunakan dalam mana-mana perkhidmatan Prasarana.

“Dengan penambahan 300 buah van ini, kami akan membuat penambahan dua koridor yang merangkumi laluan Putrajaya, Kajang serta Ampang yang akan ditambah baik manakal yang kedua kami akan pergi ke kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan rel atau bas,” ujarnya.

Perkhidmatan Rapid DRT boleh digunakan melalui aplikasi Pulse yang direka khas untuk membantu orang ramai di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan yang mahu menggunakan pengangkutan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI